Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, mengakui anak buahnya terkesan sejurus dua pemain utama dilayangkan kad merah hingga memberi ruang buat lawan menghasilkan empat gol ketika menundukkan Kemboja 5-4 dalam aksi pertama kelayakan Kejohanan AFC 2020 di Phnom Penh, semalam.

Segalanya tampak sempurna ketika skuad negara mendahului 3-0 dalam babak pertama, namun situasi berubah pada minit ke-58 apabila dua pemain negara, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Zikri Khalili, diperintah keluar padang.

Tegas Maloney, dalam situasi beraksi dengan sembilan pemain, sudah pasti ia memberi kesukaran drastik sambil mengakui anak buahnya amat terkesan dengan layangan kad merah itu.

"Pemain kami memberi ruang buat lawan untuk mengejar kedudukan. Saya tidak gembira dengan situasi itu tetapi ia boleh berlaku dalam bola sepak," katanya.

Sementara itu, pengendali Kemboja, Koji Gyotoku, menyifatkan dua jaringan terakhir Malaysia sebagai penyelamat buat anak buah Maloney itu memandangkan skuad tuan rumah itu sedang rancak merencana serangan, terutama selepas dikejutkan dengan gol jarak jauh oleh penyerang, Luqman Hakim Shamsuddin.

"Pertahanan tengah saya mengalami kecederaan dan mungkin situasi berubah dengan kehadirannya," ujar pengendali dari Jepun itu.

Sementara itu, penjaga gol kebangsaan, Firdaus Irman Mohd Fadhil, mengakui banyak pengajaran yang perlu diambil kesan daripada aksi semalam.

Dia menegaskan situasi yang berlaku mematangkan lagi seluruh pasukannya dan dia turut terkesan dengan keputusan pengadil pada minit ke-58 itu.

Hasrat untuk memastikan gawang tidak bocor gagal dilaksanakan, malah keempat-empat gol lawan dilepaskan sebaik sahaja ketiadaan Mukhairi Ajmal dan Zikri.

"Bukan senang beraksi dengan sembilan pemain dan saya memerlukan tempoh untuk bertenang tetapi ia menjadi satu pengajaran. Dalam masa sama, pemain lain juga menunjukkan sikap tidak putus asa," katanya.