Pertahanan skuad B-19 negara, Azrin Afiq Rusmini, tidak rela Malaysia mudah dibolosi menjelang pertemuan kedua saingan kelayakan Kejohanan AFC 2020 berdepan Brunei, Rabu ini.

Tembok pertahanan yang bocor ekoran keputusan pengadil dalam aksi menentang Kemboja kelmarin dilihat masih terkesan hingga kini.

Menjelang aksi berdepan Brunei, Azrin tidak mahu gawang negara mudah dibolosi, malah mengimpikan keputusan tanpa bolos selain mengharapkan jaringan besar ke atas lawan.

"Sebagai pertahanan, tanggungjawab kami perlu bermati-matian agar tidak bolos. Semua pemain perlu jalankan tugas masing-masing dan tidak benarkan lawan beraksi dengan mudah sambil memastikan gawang tidak bolos," katanya.

Azrin -- yang merupakan antara kesebelasan utama pilihan pengendali, Brad Maloney, ketika aksi menentang Kemboja -- yakin namanya akan terus menjadi keutamaan.

Walaupun Malaysia terus dianggap sebagai pilihan menjelang aksi di Stadium Olimpik nanti, dia tidak mahu situasi itu memakan diri, malah memilih untuk bersikap berhati-hati.

"Ada kelemahan daripada segi memberi tekanan yang lewat. Kemudian, mudah lepaskan bola. Insya-Allah, saya akan perbaikinya."