Jika Luqman Hakim Shamsudin cemerlang dengan empat jaringan di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh malam tadi, apa kurangnya pemain tengah negara, Mohd Aiman Afif Md Afizul, turut cemerlang mencetak hatrik walaupun hanya dimasukkan pada minit-33 bagi menggantikan Mohd Muslihuddin Atiq Mat Zahid yang mengalami kecederaan lutut.

Ia peluang yang ditunggu-tunggu selepas namanya tiada dalam kesebelasan utama ketika bertemu tuan rumah itu, Sabtu lalu.

Biarpun jaringan pemain Kedah itu gagal mengatasi kejayaan peribadi Luqman Hakim yang meledak empat jaringan dalam aksi kedua, namun Aiman Afif antara nama yang mampu diletakkan harapan, terutama dalam situasi genting.

"Saya hanya berikan persembahan terbaik malam ini.

"Saya berasakan kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol lagi, tapi mungkin setakat itu rezeki negara," katanya, dengan skuad negara bakal menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan G bertemu Kepulauan Mariana Utara petang esok.

Kemasukan Aiman Afif bagi menggantikan Muslihuddin yang mengalami kecederaan lutut umpama pertaruhan berbaloi buat jurulatih, Brad Maloney.

Mana tidaknya, jaringan pertamanya terhasil lima minit sebaik dia dimasukkan dan lebih manis, dua jaringan terakhirnya melengkapkan kemenangan 11-0 buat negara.

"Kami perlu lebih cepat dalam soal serangan, mental pemain juga kena kuat."