Jurulatih skuad B-16 negara, P. Maniam, berpandangan pasukannya perlu menampilkan aksi cemerlang daripada permulaan saingan kelayakan Kejohanan AFC B-16 sebelum bertemu Jepun dalam perlawanan terakhir.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Kemboja, Laos dan juara bertahan, Jepun.

Maniam mahu pasukannya bersaing mendapatkan kelayakan secara automatik ke Kejohanan AFC B-16 2020, dengan kemenangan ke atas Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan (Ahad) amat diperlukan.

Bagi meletakkan mereka dalam kedudukan selesa, kemenangan besar ke atas Kemboja dalam perlawanan esok dan Laos, Jumaat ini, amat penting.

"Perlawanan pertama ini akan menentukan hala tuju pasukan kami dalam saingan kelayakan kali ini dan perlawanan bertemu Jepun amat penting buat kami untuk layak ke saingan akhir," kata Maniam.

Bekas pengendali Selangor itu yakin anak buahnya sedia menampilkan aksi terbaik berdasarkan kejayaan muncul juara Kejohanan AFF B-16, Julai lalu.

Bagaimanapun, beraksi dalam saingan kelayakan mencetus keadaan berbeza kerana jurulatih itu yakin setiap pasukan sudahpun menilai kemampuan dan kelemahan lawan masing-masing.

Bagi Maniam, kesilapan harus dielak jika enggan dihukum pasukan lawan dalam usaha mereka mendapat tiket mudah ke pusingan akhir.

"Perlawanan kelayakan adalah saingan yang berbeza. Lawan kami telah menggunakan masa dengan sebaik mungkin untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan masig-masing."