Kedah mara ke pusingan ketiga pusingan kelayakan ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas membelasah kelab Hong Kong, Tai Po FC, 5-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Beraksi di depan penyokong sendiri, skuad Lang Merah itu hanya memerlukan tiga minit untuk memecahkan kebuntuan menerusi rembatan jarak jauh penyerang import, Tchecthe Kipre.

Kipre terus mempamerkan ketajamannnya apabila menolak masuk bola hantaran lintang Rizal Ghazali pada minit ke-21.

Malang berterusan buat Tai Po apabila pengadil melayangkan kad merah kepada Sun Ming Him kerana mengasari Kipre pada minit ke-33.

Kesempatan itu dimanfaatkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berkenaan dengan Hadin Azman muncul sebagai penjaring dua gol, masing-masing pada minit ke-47 dan 66.

Pelawat cuba bersaing menerusi gol daripada pemain tengah, Chan Man Fai, pada minit ke-68, namun Kipre melengkapkan hatriknya pada penghujung permainan.



Editor: Muzaffar Musa