Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mendapatkan aksi persahabatan dengan kelab di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas Bahrain terpaksa membatalkan pertemuan kelas A dengan Harimau Malaya ekoran isu COVID-19.

Atas permintaan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, FAM memilih kelab dari UAE untuk menilai prestasi skuad kebangsaan sebelum aksi sebenar kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan pasukan ranking ke-95 FIFA itu, 27 Mac depan.

Ia atas dasar kegagalan Bahrain menyempurnakan hasrat aksi persahabatan kelas A ekoran wabak COVID-19 yang semakin tular ketika ini.

"Kalau kami ke UAE, kami akan bergerak awal dan berdepan kelab dari sana. Kelab yang tinggi taraf tetapi ia tidak memberikan mata dalam ranking FIFA. Kalau jadi, kami akan lawan satu kelab yang sedang diusahakan," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dalam masa sama, Hamidin juga mengakui pihak FAM bersedia jika ada perubahan jadual daripada pihak UAE berhubung isu yang sama.

Beliau turut menafikan skuad Harimau Malaya bakal berdepan aksi persahabatan menentang Bhutan, bulan depan.

"Sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan yang bagus diperlukan sebelum berdepan UAE. Bhutan tidak."

Sementara itu, wabak COVID-19 turut menjadi kegusaran kem gimnastik artistik wanita negara yang bakal memaksa pengguguran beberapa kejohanan Road To Tokyo.

Fasa pertama perancangan skuad kebangsaan yang diketuai Farah Ann Abdul Hadi membabitkan Piala Dunia di Stuttgart, Jerman dan serta kem latihan dan kejohanan di Ukraine, bulan depan.

Jika wabak COVID-19 tidak memberi tanda pemulihan, maka fasa kedua persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo bagi kem pemantapan dan Kejohanan Asia juga dalam bahaya.

Kejohanan benua pada bulan Mei itu juga disifatkan sebagai peluang terakhir untuk gimnas wanita yang lain mengikut jejak langkah Farah Ann ke Jepun.

Bagaimanapun, barisan kejurulatihan sudah memulakan pendekatan pelan b untuk memastikan Farah Ann ke Olimpik tidak sekadar sebagai pelengkap jadual.

"Sebenarnya, kami ada perancangan sertai kejohanan di Jerman tetapi virus sudah merebak teruk di Eropah. Kalau serius sangat, kami akan batalkan," ujar jurulatih gimnastik artistik wanita kebangsaan, Ng Shu Wai.

"Yang penting adalah Kejohanan Asia, Mei nanti. Kami mahu pastikan atlet cergas. Perancangan ke Tokyo juga ada tetapi saya fikir mungkin Jepun tidak mahu menerima kerana virus yang semakin teruk."