MILAN 1 JUVENTUS 3

Pengurus Milan, Stefano Pioli, menyifatkan pengalaman tumpas 1-3 kepada Juventus di San Siro pada awal pagi tadi sebagai sesuatu yang "sihat" buat pasukannya dengan mengatakan: "Kami sudah lama tidak berasa keperitannya."


Dua gol daripada Federico Chiesa dan gol ketiga disumbangkan Weston McKennie mengakhiri rekod kebal Milan dalam 28 Serie A.

Milan membuat 20 percubaan tetapi gol penyamaan Davide Calabria dalam separuh masa pertama merupakan satu-satunya peluang yang dimanfaatkan, justeru Pioli mengakui pasukannya tenggelam.

"Kami harus menghormati dan memberi penghargaan kepada lawan kerana berjaya kembali ke depan," katanya kepada Sky Sports Italia.

"Kami melakukan apa yang diperlukan, menciptakan peluang dan dibolosi tetapi setelah ketinggalan buat kali kedua, ia bertambah sukar untuk kami menyusup ke kawasan lawan.

"Ia adalah satu perlawanan yang seimbang sebelum gol kedua Juventus tercetus dan saya berasakan itulah detik yang mengubah permainan ini.

"Kami dihukum oleh kualiti lawan dalam situasi yang memerlukan kami lebih memberi tumpuan."



Kekalahan itu berlaku pada malam yang sama yang menyaksikan pencabar terdekat yang juga seteru kota, Inter, tundukkan 1-2 di Sampdoria.

Walaupun melihat pemainnya terlepas peluang untuk menjarakkan diri dengan empat mata di puncak, Pioli tetap menganggap ia satu perkembangan positif.

Dia berkata: "Pemain-pemain menundukkan kepala di bilik persalinan dan dilanda kekecewaan. Ini cara yang baik untuk kami mengalami betap peritnya kekalahan memandangkan kami sudah lama tidak berasakannya.

"Saya memberi mereka tepukan di belakang, mengatakan mereka harus bangga dengan apa yang mereka capai dalam keadaan ini.

"Kami membuktikan bahawa kami adalah pasukan yang ampuh pada malam ini."