Kekalahan ini satu pengajaran berharga -- Rodgers

Oleh Staff Writer 20 Oktober 2016 0
Kekalahan ini satu pengajaran berharga -- Rodgers

CELTIC 0 BORUSSIA MONCHENGLADBACH 2

Pengendali Celtic, Brendan Rodgers, mengakui pasukannya tewas kepada lawan yang lebih baik ketika tunduk 2-0 kepada Borussia Monchengladbach dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.


Dua gol pada separuh masa kedua perlawanan menerusi Lars Stindl dan Andre Hahn menghadirkan kemenangan buat skuad kendalian Andre Schubert di Celtic Park pada Rabu.

Kekalahan itu menyaksikan Celtic kini menghuni kedudukan tercorot Kumpulan C dengan kutipan satu mata dan bekas pengendali Liverpool itu melihat anak buahnya masih bergelut dalam menyesuaikan diri dengan ideologinya.

"Mereka lebih baik daripada kami, itu kesimpulan terbaik saya," Rodgers memberitahu BT Sport.

"Pemain saya telah memberikan segala-galanya, namun pihak lawan lebih pantas dan memiliki penyudah yang lebih baik. Kami perlu mencapai tahap itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Kekalahan ini sukar untuk diterima, namun ini satu pengajaran berharga buat setiap pemain. Kami tewas kepada pasukan yang lebih baik."

Kedua-dua gol Gladbach hadir menerusi kesilapan yang dilakukan pemain veteran, Kolo Toure, yang mengikut Rodgers berhijrah ke Glasgow dari Liverpool.

Bagaimanapun, Rodgers menafikan kesilapan pemain itu menadi punca tewas.

"Dalam perlawanan ini, kami menghadiahkan dua gol itu," tambahnya.

"Kolo seorang pemain profesional, dia bermain dengan mantap sejak menyertai pasukan ini.

"Apabila kamu diarahkan untuk menggerakkan bola bermula dari barisan pertahanan, kesilapan akan berlaku -- tetapi itulah bola sepak, jadi tiada sesiapa harus dipersalahkan."

Bagaimanapun, Toure mengakui dirinya jadi punca kekalahan tersebut.

"Dalam perlawanan sebegini, tiada pemain yang sepatutnya melakukan kesilapan, saya bertanggungjawab ke atas kekalahan ini," katanya kepada BT Sport.

"Saya hanya cuba memastikan kami menguasai bola tetapi saya terlalu yakin.

"Walaupun saya sudah berusia 35 tahun, saya melakukan kesilapan seperti pemain yang baru mencecah 16 tahun."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen