Ernesto Valverde mengakui kekalahan Barcelona di tangan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah memberikan rasa pahit dalam diri Lionel Messi, namun kemenangan 2-0 ke atas Getafe awal pagi tadi membolehkan mereka lari dari bayangan tersebut.

Arturo Vidal menyumbat gol dalam babak pertama sebelum Messi menyumbang jaringan kedua setelah Mauro Arambarri menjaringkan gol sendiri padaminit ke-89, sekali gus melebarkan penguasaan Barca di puncak LaLiga ketika saingan berbaki satu perlawanan.

Valverde mengakui untuk bangkit daripada kekalahan 4-0 di Anfield bakal memerlukan masa tetapi mempertahankan pemainnya menjelang aksi final Piala Raja Sepanyol berdepan Valencia pada 25 Mei ini.

"Bagi kami, kemenangan adalah cara mudah untuk lari dari bayangan," katanya.

"Semua orang akan bangkit walaupun di permulaan, ia sukar. Kami masih ada Piala Raja Sepanyol.

"Messi berusaha untuk melupakannya. Kami berkeinginan besar untuk ke final Liga Juara-Juara tetapi perlu meneruskan perjuangan."

Valverde membawa keluar Philipppe Coutinho ketika aksi berbaki 20 minit, namun tidak lama kemudian pemain tengah itu dilaporkan mengalami kecederaan paha dan bakal berehat sehingga 10 hari.

Pemain Brazil itu menjadi sasaran ejekan penyokong Barca kerana persembahan buruk kebelakangan ini tetapi Valverde menegaskan tidak semua sambutan untuk Coutinho di Camp Nou berakhir buruk.

"Saya tidak bercakap dengan Coutinho," ujar Valverde.

"Mereka telah mengejeknya tetapi mereka juga bertepuk tangan. Apa yang terbaik adalah membantu pemain."