Arjen Robben tidak percaya Bayern Munich akan terganggu dengan memori kekalahan 4-0 di tangan Real Madrid dalam aksi pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok.

Ketika Bayern dikendalikan oleh Pep Guardiola, mereka tewas 5-0 secara agregat dalam separuh akhir saingan UCL 2013-14, dengan Sergio Ramos dan Cristiano Ronaldo masing-masing menjaringkan dua gol di Allianz Arena.

Kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sejak perlawanan itu dalam UCL tetapi Robben menegaskan Bayern tidak akan dibayangi dengan memori hitam itu.

"Segala-galanya telah dilupakan," kata Robben.

"Kedua-dua pasukan memiliki kualiti untuk memenangi perlawanan ini, kami akan mencuba yang terbaik.

"Ia sentiasa menjadi perlawanan yang istimewa buat saya kerana saya bersama mereka selama dua musim. Saya sentiasa mahu kembali ke Real tetapi tumpuan saya adalah membawa Bayern ke separuh akhir."

Real telah menjaringkan gol dalam 52 perlawanan kompetitif tetapi Arturo Vidal berkata dia akan memberikan yang terbaik untuk membantu Bayern agar tidak dibolosi sebarang jaringan ketika berdepan penyandang juara Eropah itu.

"Kami perlu memberikan segala keringat kami untuk perlawanan ini.

"Mereka memiliki sedikit kelebihan ke atas kami kerana menjuarai kejohanan ini musim lalu tetapi kami berada di tahap terbaik dan berharap ia akan berterusan."