Pengurus Napoli, Carlo Ancelotti, mencabar pasukanya mengulangi kejayaan menewaskan Liverpool, Oktober lalu, bagi memastikan kelayakan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi nanti.

Kelab Serie A itu menduduki tangga teratas Kumpulan C dan hanya memerlukan keputusan seri menentang Liverpool di Anfield bagi melayakkan mereka ke pusingan seterusnya.

Namun, Ancelotti menolak untuk pasukan pelawat itu beraksi bertahan ketika berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Liverpool memerlukan kemenangan selepas tewas 1-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG), bulan lalu.

Napoli menewaskan Liverpool 1-0 dalam pertemuan pertama di Stadium San Paolo dan Ancelotti percaya barisan pemainnya mempunyai resipi untuk sekali lagi menumbangkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

"Kami telah melakukannya dengan sebaik mungkin setakat ini.

"Kek telah tersedia dan kini kami hanya perlukan ceri.

"Kami tahu apa yang sedang berlaku dan kami perlu lakukan langkah terakhir bagi mengungguli kumpulan.

"Kami hadir ke sini bukan untuk duduk bersenang-lenang.

"Kami akan mengekalkan fokus untuk meraih jaringan.

"Kami mampu menewaskan mereka di gelanggang kami dan itu akan memberikan keyakinan yang tinggi buat pasukan," katanya.