Kejuaraan LaLiga Real Madrid antara hari terbaik dalam karier Zidane

Oleh Muzaffar Musa 17 Julai 2020 416
Kejuaraan LaLiga Real Madrid antara hari terbaik dalam karier Zidane
Zinedine Zidane menganggap kejayaan Real Madrid menjulang kejuaraan terbaru LaLiga awal pagi tadi sebagai salah satu hari terbaik dalam karier profesionalnya.

Karim Benzema menjaringkan dua gol untuk skuad Los Blancos itu menewaskan Villarreal 2-1 di Estadio Alfredo Di Stefano, sekali gus mengesahkan kejuaraan itu meskipun masih berbaki satu perlawanan.

Madrid memenangi kesemua 10 perlawanan sebaik liga itu bersambung bulan lalu selepas berehat hampir tiga bulan berikutan pandemik COVID-19.

Ia juga merupakan trofi pertama Zidane sejak kembali mengemudi pasukan itu pada Mac 2019.

Zidane kini telah memenangi 11 trofi sepanjang dua tempohnya di Madrid dan ingin mendedikasikan kejayaan terbarunya itu kepada penyokong pasukan berkenaan, yang hanya dapat menonton perlawanan itu di rumah disebabkan larangan ke stadium berikutan pandemik COVID-19.

"Pada akhirnya, kami memenangi liga kerana kami memenangi paling banyak mata, ia semudah itu," katanya dalam siaran langsung perlawanan LaLiga itu.

"Hari ini adalah antara hari terbaik dalam karier profesional saya dan selepas segala yang berlaku, waktu rehat selama tiga bulan, kami mencapai sesuatu yang luar biasa.

"Ia agak pelik untuk semua orang, kami mengawal situasi, kami gembira jika dapat bersama penyokong, harap-harap ia dapat berlaku selepas ini tetapi demi kepentingan kesihatan, ia tidak dapat berlaku.

"Tetapi saya yakin penyokong kami gembira untuk meraikannya di rumah.

"Saya mahu menyapa setiap penyokong kami yang menyaksikan perlawanan ini di rumah," katanya.


Zidane membimbing Madrid meraih tiga kejuara Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut dalam tempoh pertamanya bersama pasukan itu tetapi apabila ditanya sama ada pencapaian kali ini lebih baik atau tidak, dia berkata: "Ya, benar.

"Lihat, Liga Juara-Juara adalah Liga Juara-Juara tetapi memenangi Liga Sepanyol memerlukan usaha yang besar.

"Selama 38 minggu anda berusaha dan selepas 38 minggu itu, anda mengumpulkan mata yang lebih banyak daripada orang lain, ia luar biasa," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen