Ketua jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, menegaskan bahawa kejuaraan Bundesliga musim ini masih terbuka biarpun pasukannya itu berjaya menewaskan Bayern Munich 3-2 dalam aksi Der Klassiker, awal pagi tadi.

Marco Reus dua kali menafikan jaringan pendahuluan Robert Lewandowski di Signal Iduna Park sebelum Paco Alcacer meledak gol kemenangan Dortmund pada minit-73.

Dortmund kini berkelebihan tujuh mata ke atas Bayern Munich yang kini terjatuh ke tangga ketiga liga di belakang Borussia Monchengladbach.

Namun, Favre tidak mahu memandang rendah keupayaan Bayern dengan menyatakan kejuaraan Bundesliga musim ini masih terbuka.

"Kami kini di puncak liga dan Monchengladbach kedua.

"Bayern di kedudukan ketiga dan ia persaingan yang sangat hebat.

"Kedudukan boleh berubah bila-bila masa dengan kami mungkin akan dipintas Leipzig, Monchengladbach dan Bayern Munich," katanya dalam sidang media.