Thomas Muller mendedahkan mengenai rasa bangga dan emosinya selepas Bayern Munich mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut awal pagi tadi.

Bayern melalui permulaan hambar musim ini dengan Muller bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Niko Kovac, yang dipecat November lalu.

Tetapi Hansi Flick mengambil alih kepimpinan pasukan itu dengan rekod cemerlang 26 kemenangan daripada 29 perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Kemenangan terbaru ke atas Werder Bremen awal pagi tadi mengesahkan kedudukan mereka selaku juara dengan Robert Lewandowski menemui sasaran sebelum Alphonso Davies mencetuskan kebimbangan setelah dilayangkan kad merah.

Selepas menamatkan perlawanan itu, Muller berkongsi mengenai perasaannya tentang kejayaan berkenaan.

"Kami perlu berjuang dengan kuat tetapi ia menggambarkan situasi sepanjang beberapa minggu ini," katanya kepada ARD.

"Kami kekal dengannya. Semangat juang, termasuk kualiti, benar-benar amat tinggi.

"Dengan kebangkitan yang kami mulakan dan dengan cara kami bermain dalam separuh kedua musim ini, saya mempunyai momen beremosi yang banyak dalam perlawanan Bundesliga seperti ketika di Borussia Dortmund (kemenangan 1-0 bulan lalu) atau hari ini.

"Apabila saya melihat rakan sepasukan, kami mencapai sasaran bersama ini dan ia adalah sesuatu yang kami capai dengan bermaruah," katanya