Thonburi Inter FC Thailand muncul juara Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Asean selepas menewaskan SS90'S Sabah 3-1 dalam aksi final di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Dengan diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan Thailand, Thonburi mendahului 2-0 dalam separuh masa pertama hasil jaringan Surapan Buaprom pada minit ketujuh dan Sanong Chaiprakhom pada minit ke-27.

SS90'S yang majoritinya dibarisi bekas pemain pasukan Sabah memberikan saingan sengit dan berpeluang mengakhiri separuh masa pertama dengan keputusan seimbang, namun beberapa peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Dalam babak kedua, Thonburi berjaya menambah jaringan pada minit ke-65 selepas Sanong melepasi perangkap ofsaid dan menewaskan penjaga gol SS90'S, Mohd Yusri Jamrin, untuk menjadikan kedudukan 3-0.

SS90'S terus berusaha, namun hanya memperoleh satu gol menerusi David Joseph pada minit ke-88.

Terdahulu, Thonburi mara ke final selepas menewaskan Tuak FC Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti manakala SS90'S mengalahkan Persatuan Bola Sepak Veteran (VFA) Brunei Darussalam 1-0, Jumaat lalu.

Gelaran juara menyaksikan Thonburi membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan piala kejohanan.

SS90'S pula menerima RM30,000 selaku naib juara.

Penentuan tempat ketiga dan keempat berpihak kepada Tuak FC dengan kemenangan 4-0 ke atas VFA Brunei.

Tuak FC menerima RM20,000 selaku pemenang tempat ketiga manakala VFA Brunei menerima RM10,000.