Skuad bola sepak cacat penglihatan negara menamatkan saingan di tempat keenam Kejohanan Bolasepak Buta Asia, Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (IBSA) apabila tumpas 2-1 kepada Jepun dalam penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini.

"Kami boleh menyamai keupayaan Jepun tetapi dua penalti tidak dapat disudahkan.

"Pemain-pemain cukup bersedia pada hari ini dan mereka juga yakin mampu bangkit selepas ketinggalan dua gol. Daripada segi strategi, tiada masalah. Cuma kami gagal menyudahkan kesempatan yang ada," kata jurulatih negara, M. Shalesh.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Jepun memulakan perlawanan dengan agresif dalam usaha meraih jaringan awal.

Usaha Jepun berhasil apabila kapten pasukan, Ryo Kawamura, membuka jaringan pada minit ketujuh selepas pertahanan negara gagal menangani gerakan lawan di dalam kawasan sendiri.

Belum sempat barisan negara bangkit, Jepun menyumbat gol kedua dan kali ini menerusi percubaan Tomonori Kuroda pada minit ke-15.

Tersentak dengan dua gol awal lawan, skuad kendalian Shalesh itu mula mengatur gerakan lebih tersusun ke kawasan lawan dan hasilnya, Mohamad Amirul Arif Mahadhir merapatkan jurang gol pada minit ke-20.

Babak kedua menyaksikan skuad negara lebih banyak menyerang, namun gagal menemui tindakan penyudah, malah dua penalti yang diperoleh juga gagal disempurnakan.

"Permainan hari ini lebih baik daripada dua aksi lepas. Cuma pada awal permainan, kami gagal membaca rentak Jepun, mereka merupakan pasukan yang sedang bersiap-sedia untuk Sukan Paralimpik 2020, jadi sebab itulah persiapan mereka mungkin lebih bagus daripada kami," kata ketua pasukan, Amirul.