Kejohanan Bolasepak Buta Asia: Saingan domestik bakal diwujudkan 

Oleh Penulis Jemputan 17 Disember 2017 88
Kejohanan Bolasepak Buta Asia: Saingan domestik bakal diwujudkan 
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berpuas hati dengan komitmen dan semangat juang pemain bola bola sepak cacat penglihatan negara meskipun gagal ke Piala Dunia tahun depan sambil tidak menolak sokongan tambahan kepada mereka. 

Bagi Khairy, skuad kendalian M. Shalesh itu telah mempamerkan peningkatan apabila berjaya merapatkan jurang gol ketika berdepan pasukan gergasi Asia seperti Iran, Korea Selatan dan Jepun dalam Kejohanan Bolasepak Buta Asia, Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (IBSA), sepanjang minggu ini. 

Tambah Khairy, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedia memberi sokongan tambahan kepada pasukan negara, malah tidak menolak kemungkinan mengadakan saingan domestik buat mereka. 

"Mungkin pada masa akan datang liga domestik boleh diadakan agar kita dapat melahirkan lebih ramai pemain cacat penglihatan. 

"Saya ingin terus memberi sokongan kepada mereka berikutan peningkatan ketara yang ditunjukkan mereka. 

"Walaupun mereka tidak layak ke Piala Dunia, namun jurang dengan pasukan seperti Korea Selatan dan Jepun semakin kecil. Ini perkembangan yang amat baik sekali," katanya. 

Kesediaan Khairy untuk terus memberikan sokongan disambut baik oleh Shalesh yang turut optimis dengan potensi anak buahnya. 

Bagi Shalesh, sejak meraih pingat emas Sukan Para ASEAN 2015, barisan negara kini sudah menghampiri tahap pasukan terbaik Asia.

Beliau juga berasakan sokongan kedua-dua badan sukan itu penting bagi menjamin kebajikan pemain-pemain negara. 

"Buat masa ini, kebanyakan daripada mereka adalah atlet sepenuh masa. Selepas kontrak mereka berakhir, kita perlu memikirkan masa depan mereka kerana kalau boleh, saya tidak rela melihat mereka menjadi tukang urut. Tiga daripada mereka adalah penuntut universiti. 

"Hati dan bakat dah ada tetapi kebajikan mereka perlu dijaga," kata Shalesh. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen