Pemain negara, Danial Hakim Draman, bersedia untuk mengisi kepincangan bahagian tengah skuad kebangsaan dalam laluan menjadikan Kejohanan AFF Bawah 22 Tahun sebagai medan memulakan impian mencipta nama sehebat idola negeri kelahirannya Kelantan, Badhri Radzi.

Anak jati kelahiran Kota Bharu itu semakin mencipta nama selepas memecah masuk ke dalam skuad senior Kelantan melalui program remaja bola sepak negeri itu.

Melihat idolanya, Badhri, yang kini bersama Perlis secara lebih dekat berbanding penyokong biasa memberikan Danial platform membentuk identiti corak permainan tersendiri.

"Bagi saya, kalau pemain idola dari luar negara adalah tonggak Jerman, Toni Kroos, dan dalam Malaysia, Badhri Radzi. Dia adalah ketua pasukan yang memiliki aura tersendiri. Saya akan menggunakan pengalaman beraksi dalam Liga Super tahun lalu dan Liga Perdana tahun ini untuk membantu skuad negara bagi aksi esok," katanya.

Penyokong bola sepak tanah air sudah sedia maklum kepincangan bahagian tengah kini dihadapi Malaysia tanpa perancang utama, Daniel Amier Norhisham, yang tidak diberi pelepasan oleh Felda United.

Bagaimanapun, skuad negara diberi suntikan semangat selepas kelibat Nik Akif Syahiran Nik Mat dilihat berlatih seperti biasa susulan kecederaan lutut sejak melaporkan diri ke kem skuad negara Isnin lalu.

"Walaupun ketiadaan Daniel Amier dan beberapa tonggak lain, kami harus percaya kepada pemain lain dalam pasukan. Mereka memiliki kualiti tersendiri," tambah Danial Hakim.

"Tanggungjawab memang besar tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik."