Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan skuad B-19 negara untuk mara ke aksi perlawanan akhir Kejohanan AFF B-19 di Vietnam, bermula 6 hingga 19 Ogos ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata skuad berkenaan perlu mara ke final bagi mencerahkan peluang layak beraksi dalam Kejohanan AFC B-19 2020, namun AFC masih belum mengumumkan tuan rumah kejohanan dwitahunan tersebut.

“Sasaran yang ditetapkan adalah layak ke pusingan akhir AFC B-19 2020 dan kami harap pasukan ini akan mempamerkan aksi terbaik dalam kempen Kejohanan AFF B-19,” katanya dalam sidang media selepas sesi santai media bersama presiden FAM, hari ini.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengumumkan ahli exco FAM yang baru, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, yang dilantik sebagai pengurus skuad B-19 yang akan ke Vietnam.

Beliau yakin dengan kemampuan pengurus pasukan PDRM FA itu untuk membantu membimbing pemain muda negara dalam kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Ariffin yang ditemui pemberita berkata beliau bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan badan induk itu kepadanya, sambil memaklumkan akan mengadakan perjumpaan dengan barisan pemain skuad B-19 negara dan pengendali pasukan, Brad Maloney, hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Hamidin kerana memberi kepercayaan (kepada saya) untuk mengurus pasukan B-19 dan Insya-Allah, saya akan mencurahkan segala keringat dan pengalaman saya buat pasukan ini,” jelasnya.

Malaysia berhadapan laluan sukar dalam edisi ke-17 kejohanan berkenaan selepas diundi menentang juara lima kali, Thailand, serta juara empat kali, Australia, dalam saingan Kumpulan B di samping tiga pasukan lain, iaitu Kemboja, Singapura dan tuan rumah, Vietnam.

Enam pasukan pula akan bersaing dalam Kumpulan A yang terdiri daripada Myanmar, Indonesia, Laos, Timor Leste, Filipina dan Brunei Darussalam.

Untuk rekod, Malaysia muncul juara buat julung kalinya selepas mengalahkan Myanmar 4-3 dalam aksi final edisi 2018 di Indonesia.

Dalam perkembangan lain, skuad B-15 negara merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Iran dalam aksi pembukaan Kejohanan Remaja Antarabangsa China CFA 2019, hari ini.

Dalam aksi di Stadium Haikou Wuyuanhe itu, gol Malaysia dijaringkan gol Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-65, disusuli sentuhan pemusnah Daniel Edzuan Anuar pada minit ke-85.

-- BERNAMA