Jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, menegaskan misi dalam pusingan awal hanya dianggap berjaya jika anak buahnya mampu mengatasi tekanan Thailand untuk muncul juara Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 menjelang aksi penting di Stadium Thanh Long, petang ini.

Skuad negara kini mencipta impak tersendiri selepas mengejutkan Australia 3-0, kelmarin.

Justeru, Thailand juga enggan menjadi mangsa dan sudah pasti skuad Gajah Perang itu bakal menggandakan persediaan mereka bagi membuka ruang untuk merebut slot ke separuh akhir.

Tegas Maloney, jika Australia mampu dijinakkkan, dia tidak rela Thailand menjadi halangan buat skuad remaja negara dalam memastikan status selaku juara kumpulan bagi mengelak pertemuan dengan Indonesia yang sudah mengesahkan kedudukan mereka dalam separuh akhir.

"Thailand sebuah pasukan yang mantap, mereka memulakan kempen dengan perlahan kerana saya dengar mereka berdepan masalah tersendiri.

"Namun, mereka semakin garang dan memberi tentangan sengit kepada Australia sebelum mengikat Thailand 0-0 dalam perlawanan terakhir.

"Tiada perlawanan mudah dalam kejohanan ini. Lagipun Thailand sebuah pasukan yang dihormati dalam kancah bola sepak Asia Tenggara," katanya.

Bagaimanapun, berita kurang baik daripada kem negara apabila dua pemain -- Mukhairi Ajmal Mahadi dan Azam Azmi Murad -- terpaksa direhatkan ekoran penggantungan.

"Kami masih mempunyai pilihan lain.

"Saya tidak mempunyai kesebelasan utama tertentu, jadi 18 pemain yang ada ini sedia untuk beraksi, ini merupakan usaha berpasukan," tambahnya.

Tambahnya, lawan yang menampilkan barisan pemain muda tidak boleh dipandang mudah, malah mereka masih dianggap berbahaya.