Ketua pasukan skuad B-18 negara, Firdaus Iirman Mohd Fadhil, menegaskan Malaysia tidak akan sekadar akur tanpa melawan terhadap kelebihan skuad Australia menjelang aksi Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18, petang ini.

Mengakui fizikal dan teknik lawan mereka itu begitu ketara jika dibandingkan dengan skuad bimbingan Brad Maloney itu, ia tidak bermaksud Malaysia terpaksa mengalah awal dan sekadar tunduk dengan situasi.

"Memang ketara bahawa tahap fizikal pihak lawan lebih besar daripada kami.

"Namun, ada pendekatan lain yang boleh kami buat (untuk menyaingi mereka), contohnya dengan bermain satu-dua, lebih segera membuat hantaran dan pantas membuka ruang untuk rakan-rakan," katanya.

Kelibat penjaga gol dengan ketinggian 185 sentimeter itu tiada dalam perancangan ketika aksi dengan Kemboja, kelmarin.

Sudah pasti Firdaus dan beberapa pemain utama yang direhatkan lebih bersedia dalam misi hidup mati skuad negara di Stadium Thanh Long itu.

"Kami perlu perkuatkan pertahanan kerana mereka gemar mengatur serangan di bahagian sayap.

"Jadi, bek kami di sebelah kiri dan kanan perlu bersedia dari awal sehingga tamat perlawanan," katanya.