"Pemain adalah wira, bukan saya."

Itu kenyataan ketua jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, yang menganggap keberkesanan anak buahnya berfungsi di atas padang sebagai punca utama kejayaan penting mengatasi Australia 3-0 semalam.

Tatkala sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menjadi tumpuan di atas kecemerlangan terkini skuad B-18 kebangsaan, pengendali itu memilih untuk lebih bertenang.

Malah, jurulatih kelahiran Australia itu menegaskan keberkesanan barisannya adalah berpunca daripada aksi menjadi anak buahnya dalam menyempurnakan pelan yang telah ditetapkan.

Perancangan Maloney sepanjang kejohanan kali ini bergantung kepada setiap keputusan yang diperoleh di mana mereka hanya memiliki tempoh 48 jam untuk merangka stretegi dan taktikal mengikut keperluan mengatasi pihak lawan.

"Sememangnya bagus meraih keputusan yang baik. Bagi saya, persembahan pemain adalah perkara utama. Mereka mengikut perancangan dan berupaya menggunakan kesempatan yang ada," katanya.

Merujuk kepada pelan dan taktikal sebelum perlawanan, tumpuan pengendali itu lebih terarah kepada menyekat asakan Australia yang sering berpunca dari bahagian sayap selain kelajuan pemain di bahagian depan amat dituntut untuk mengatasi pertahanan lawan.

Perancangan itu menjadi dan dianggap sangat sempurna oleh Maloney yang menyifatkan kemenangan ke atas Australia sebagai jawapan terbaik jika ada pihak yang mempersoal kemampuan pasukan yang dibawanya itu.

"Bagi saya, Australia sentiasa menjadi pilihan untuk memenangi kejohanan ini. Ia bakal jadi perlawanan yang getir dan saya menjangkakan mereka mara ke separuh akhir dan final. Lihat nanti apa yang kami boleh lakukan selepas ini."