Jurulatih skuad B-18 negara, Brad Maloney, melihat perkembangan positif hari demi hari skuad kendaliannya umpama petanda barisan pemainnya mampu pergi jauh walaupun aksi pertama mereka bertemu Vietnam tampak meragukan.

Pertemuan dengan Kemboja petang semalam mengundang pelbagai reaksi berikutan pasukan itu cemerlang menundukkan Thailand 4-3, Jumaat lalu.

Sudah pasti hal itu menjadi kayu pengukur buat skuad negara, apatah lagi kekalahan 0-1 dalam perlawanan pertama dengan Vietnam menuntut skuad remaja negara mencetak dua kemenangan berturut turut sebelum bertemu Australia, esok.

"Bukan mudah untuk mengharungi perlawanan berselang dua hari dan ada pemain yang telah beraksi sepanjang 90 minit berturut-turut.

"Saya merangka strategi untuk merehatkan beberapa pemain dan saya merancang untuk memberikan pemain-pemain lain peluang (supaya mereka dapat membuktikan kewibawaan) untuk merebut kesebelasan utama bagi aksi seterusnya.

"Saya percaya dengan peningkatan prestasi pasukan dalam setiap perlawanan biarpun kami berdepan beberapa rintangan awal di sini dan hari ini (semalam), barisan pemain dapat melaksanakan tugas mereka di setiap penjuru padang," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kemboja, Chhouk Piseth, mengakui Malaysia terlalu ampuh buat mereka.

Beliau terpaksa melewati saat genting ekoran kehilangan tujuh pemain yang dimasukkan ke hospital kerana demam panas selain keletihan dengan jadual yang padat dan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan setiap kali menjalani latihan.

"Pemain beraksi dengan baik tetapi belum cukup untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami berdepan beberapa masalah kerana ada pemain yang dilanda demam dan ada yang terpaksa berehat di hotel dan hospital," jelasnya.