Ketua jurulatih skuad negara, Brad Maloney, menganggap kemampuan ramai pemain menghasilkan jaringan sebagai kelebihan buat pasukannya dalam saingan Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 2019.

Merujuk kepada tiga penjaring berbeza dalam kemenangan 3-0 ke atas Kemboja semalam, pengendali itu lega apabila usaha untuk membuat jaringan tidak bergantung kepada kelibat satu individu sahaja di dalam pasukan.

Ia jelas dibuktikan dalam dua aksi dengan Singapura dan Kemboja tatkala seramai lima penjaring daripada skuad negara mencipta jaringan bagi jumlah enam gol setakat ini.

"Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sihat. Tentunya kami tidak mahu bergantung kepada seorang pemain untuk menjaringkan gol. Jadi, ia bagus buat pasukan. Kini, kami sedia menghadapi aksi seterusnya menentang Australia," katanya.

Aksi dengan Kemboja semalam tidak menampilkan beberapa pemain utama seperti Luqman Hakim Shamsuddin dan Firdaus Irman Mohd Fadhil yang diberi peluang untuk berehat.

Mereka bakal berdepan tugas getir apabila menentang Australia yang dianggap sebagai pasukan pilihan, sekali gus memaksa skuad negara melakar keajaiban dalam usaha untuk meloloskan diri ke peringkat seterusnya dalam saingan kali ini.

"Saya dapat lihat mereka melakukan penggiliran dalam kesebelasan utama. Jadi, kami tidak tahu apa yang bakal dihadapi pada hari perlawanan, membuatkan kami hanya perlu persiapkan diri," tambah Maloney.