Dua pemain baru skuad B-23 negara, A. Shivan Pillay dan K. Thivandaran, bertekad membalas kepercayaan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, menerusi aksi terbaik masing-masing selepas terpilih membarisi skuad 26 pemain ke Mokpo, Korea Selatan, sebagai fasa terakhir menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

Paling mencuri tumpuan ialah pemilihan lima pemain daripada skuad B-19 negara dalam skuadnya, iaitu Shivan, Thivandaran, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Nik Akif Syahiran dan Akhyar Rashid.

Kecuali Akhyar yang pernah bersama skuad itu sebelum ini, empat pemain lain tampil sebagai muka baru dengan masing-masing menawarkan kemampuan untuk membantu pasukan agar lebih menyerlah dalam kejohanan di China itu.

"Saya bangga dapat panggilan ini dan pasti akan buat yang terbaik. Saya memang layak untuk disenaraikan dan akan berikan aksi yang lebih baik lagi, termasuk merebut tempat dalam senarai akhir skuad 23 pemain," kata Shivan.

Apapun, Shivan dan Thivandaran masih perlu bersaing merebut tempat dalam kem latihan pusat di Korea Selatan dan China kerana tiga pemain lagi akan digugurkan untuk skuad akhir 23 pemain dibentuk bagi membawa cabaran negara dalam kejohanan itu nanti.

"Saya perlu memberikan komitmen 100 peratus dalam perlawanan persahabatan dan sesi latihan untuk ditempatkan dalam senarai 23 pemain. Saya akan memberikan aksi terbaik supaya dapat ke China. Saya harap dapat beraksi dalam kesebelasan utama di sana nanti," kata Thivandaran.

Skuad Datuk Ong Kim Swee akan berdepan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab di Korea Selatan, bermula dengan Mokpo City (20 Disember), disusuli Universiti Jeonju (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Satu lagi aksi persahabatan dijangka pada 5 Januari di Nanjing, China.