Kejohanan AFC: Kecergasan pemain di tahap memuaskan 

Oleh Penulis Jemputan 2 Disember 2017 348
 Kejohanan AFC: Kecergasan pemain di tahap memuaskan 
Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mampu melakar senyuman dengan tahap kecergasan kesemua anak buahnya selepas hampir seminggu menjalani kem latihan pusat. 

Kem latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China bulan depan memasuki hari keenam selepas pemain-pemain melaporkan diri sejak Isnin lalu. 

Hanya Syafiq Ahmad yang akan melangsungkan perkahwinan esok selain Matthew Davies, yang sedang menjalani rawatan pemulihan pergelangan kaki di Australia, masih belum menyertai kem latihan kali ini. 

Kedua-duanya dijangka melaporkan diri bersama pasukan dua hari lagi. 

"Sesi yang cukup mencabar kerana pada minggu pertama ini, kami banyak melakukan latihan kecergasan dan pemain memberi reaksi yang cukup baik. Mereka nampak bersungguh-sungguh dan benar-benar ingin bersama skuad ini. 

"Saya berharap dalam tempoh dua minggu lagi kem latihan pusat di sini, situasi mereka akan bertambah baik," kata Kim Swee. 

Dalam perkembangan sama, jurulatih kecergasan, Reuben Jude, mahu memastikan keadaan pemain kekal di tahap terbaik sepanjang tempoh persiapan ini.

Program kecergasan yang dibahagikan kepada tiga fasa ini diharap dapat membantu pemain untuk mempamerkan aksi lebih konsisten apabila menghadapi kempen di China itu nanti. 

"Kami mempunyai tempoh enam minggu menjelang aksi sulung (Kejohanan AFC), iaitu menyamai tempoh pra-musim. Kami sedang membina kekuatan asas. 

"Dua minggu awal ini, pemain akan menjalani latihan berintensiti tinggi disusuli minggu ketiga, mereka mula menjalani latihan taktikal dan dalam masa sama latihan berat akan mula dikurangkan," ujar Reuben.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen