Pengendali Jordan, Iain Richard Brunskill, menegaskan hanya kemenangan menjadi keutamaan pasukannya dalam pertemuan kedua Kumpulan C menentang skuad muda Malaysia di Stadium Changsu, China, Sabtu nanti.

Itu reaksi merendah diri Brunskill sungguhpun hakikatnya Jordan memerlukan kemenangan besar ke atas Malaysia bagi mencerahkan peluang ke suku akhir.

Ia susulan kegagalan mereka meraih kemenangan dalam aksi sulung menentang Arab Saudi semalam selepas lawan bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2.

Dengan jumlah jaringan tampak bakal menjadi penentu peluang meneruskan kemaraan, Jordan perlu memanfaatkan aksi berdepan Malaysia memandangkan ujian getir menanti bertemu Iraq dalam aksi terakhir mereka.

"Paling penting adalah persembahan yang baik dan meningkatkan prestasi daripada apa yang kami lakukan malam ini (semalam).

"Kami meraih keputusan 2-2 menentang Arab Saudi. Diharapkan kami mendapat keputusan yang baik menentang Malaysia," kata pengendali dari England itu.

Justeru, dia sudah pasti mengharapkan penyerangnya, Baha Faisal Mohamad, yang meledak dua gol berdepan Arab Saudi dapat mengulangi aksi cemerlang itu menentang skuad negara.

Jordan menduduki tempat ketiga dalam edisi pertama di Oman pada 2013 manakala terkandas di peringkat suku akhir, dua tahun lalu.