Bojan Hodak menyifatkan aksi persahabatan dengan skuad B-19 Qatar sebagai perlawanan penilaian sebelum 23 pemain disenaraipendekkan untuk Kejohanan AFC B-19 di Jakarta, bermula 18 Oktober ini.

Menurut Hodak, 23 nama untuk ke Kejohanan AFC akan diputuskan sebaik tamat aksi persahabatan dengan Qatar nanti.

Meskipun pengendali itu masih memiliki baki dua aksi persahabatan di Kuala Lumpur, namun pemilihan 23 pemain perlu segera diputuskan bagi menjamin persediaan mental pemain dalam misi merebut slot ke Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.

"Selepas kunjungan ke Qatar, kami akan mengharungi dua perlawanan lagi, termasuk berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum saya memutuskan tonggak utama dan pemain simpanan.

"Perlawanan hari ini dan esok akan membantu saya menyenaraikan 23 pemain untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23," katanya.

Tidak hairanlah pemain lincah, Akhyar Rashid, turut berada dalam perancangan Hodak untuk sekurang- kurangnya 15 minit terakhir perlawanan.

Hodak turut berkongsi situasi Akhyar yang sudah bebas daripada kesakitan hamstring, namun langkah berjaga-jaga masih menjadi keutamaan pengendali dari Croatia itu.

"Akhyar sudah menyertai beberapa sesi latihan normal.

"Saya akan mengujinya bagi baki 10 atau 15 minit perlawanan terakhir esok.

"Dia tidak lagi menanggung kesakitan, saya hanya ingin melihat dia sudah bersedia 100 peratus kerana saya tidak mahu mengambil risiko.

"Sentuhannya amat penting buat kami dalam pertandingan sebenar nanti," tambahnya.

Kelibat pemain tengah negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat, juga memberi kelegaan apabila mudah menyesuaikan diri bersama pasukan biarpun paling lewat melaporkan diri ke kem kebangsaan ekoran tuntutan komitmen Piala Malaysia.