Kejohanan AFC B-19: PSSI beri jaminan tiada kekecohan bakal berlaku

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2018 251
Kejohanan AFC B-19: PSSI beri jaminan tiada kekecohan bakal berlaku
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memberi jaminan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa insiden kekecohan yang menimpa skuad B-19 Malaysia ketika Piala AFF Julai lalu tidak akan berulang dalam Kejohanan AFC yang sedang berlangsung di Jakarta.

Ia disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul, sebelum Kejohanan AFC bermula dengan jaminan yang diberikan PSSI bahawa insiden yang berlaku di Surabaya tidak akan berulang di Jakarta.

Berbalik kepada penganjuran kali ini, AFC terlibat sepenuhnya bersama PSSI dan Windsor menegaskan pihak AFC mengambil serius dalam memastikan tiada sebarang kekecohan melibatkan mana-mana pasukan sepanjang saingan berlangsung.

"Mereka telah memberikan jaminan bagi memastikan persiapan berhubung keselamatan barisan pemain yang bersaing dalam kejohanan kali ini," kata Windsor.

Menerusi empat penganjuran besar bagi tahun 2018, Indonesia sepatutnya sudah matang dan belajar daripada kesilapan dalam menguruskan kejohanan besar, terutama melibatkan bola sepak.

Kekecohan ketika saingan Piala AFF B-19 membabitkan pertembungan Malaysia-Indonesia menimbulkan sentimen kenegaraan sehingga mendapat perhatian pemimpin daripada dua negara terlibat.

Ia disusuli dengan insiden bendera terbalik tanpa sengaja melibatkan pemain B-16 tahun negara, Amirul Ashrafiq Hanifah, yang menimbulkan kemarahan penyokong Indonesia, Julai lalu.

"Kami berasakan Indonesia mula lebih matang dan tidak mahu insiden tersebut berlaku lagi dan mereka telah melakukan persiapan yang lebih terperinci."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen