Pemain tengah skuad B-19 negara, Nurfais Johari, sudah melupakan kekecewaan yang berlaku bersama Pulau Pinang, terutama soal tunggakan gaji, dengan cuba mencari semangat baru dalam Kejohanan AFC B-19.

Nurfais yang beraksi di posisi sayap kanan dijangka muncul salah seorang tonggak utama skuad B-19 negara untuk menghadapi kempen di Indonesia yang akan bermula 20 Oktober ini.

Namun, mentalnya dilihat tidak berada di tahap terbaik bagi membawa nama negara di Jakarta nanti ekoran masih menanti isu tunggakan gaji yang telah berlanjutan selama empat bulan.

Sehubungan itu, dia akan cuba sedaya-upaya melupakan seketika permasalahan itu bagi memberi fokus sepenuhnya untuk menjulang maruah negara di pentas Asia.

"Walaupun sedikit terganggu kerana kewangan tidaklah kukuh, saya mahu ketepikan masalah dengan Pulau Pinang.

"Ini tugasan saya bersama negara, jadi saya mahu memberi fokus kepada Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, anak jati Sungai Dua, Pulau Pinang, tersebut menegaskan dia gembira dengan pendedahan tertinggi yang ditimbanya bersama skuad B-19.

Banyak perkara baru dipelajarinya bersama Bojan Hodak dan dia berharap skuad kali ini mampu mencetuskan kejutan biarpun tidak ramai pihak meletakkan harapan tinggi.

"Saya rasa boleh.

"Pasukan ini sudah lama dikumpulkan, lagipun kami semakin mengenali corak permainan satu sama lain yang menyaksikan kami menjuarai Kejohanan AFF B-19 sebelum ini.

"Jurulatih menyuntik kata-kata semangat kepada kami, Insya-Allah kami mampu ke final," katanya lagi.