Kejohanan AFC B-19: Maloney tidak perlu rombakan pertahanan

Oleh Bernama 23 Julai 2020 703
Kejohanan AFC B-19: Maloney tidak perlu rombakan pertahanan
Barisan pertahanan skuad B-18 negara perlu bersiap sedia membentuk pertahanan yang lebih kukuh untuk berdepan pasukan yang memiliki jentera serangan terbaik Asia dalam Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Benteng pertahanan yang tidak konsisten merupakan punca kelemahan Malaysia dalam dua kempen terakhir, iaitu Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 dan pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19.

Ia menyebabkan pasukan bimbingan Brad Maloney itu dibolosi 10 gol dalam 11 perlawanan, termasuk empat gol yang ‘disumbangkan’ kepada Kemboja dalam kemenangan tipis 5-4 sewaktu perlawanan pembukaan kempen kelayakan.

Walaupun kelemahan barisan pertahanan mungkin menjejaskan skuad negara, yang akan berdepan bekas juara, Qatar, yang menyumbatkan 10 gol dalam kempen kelayakan, Tajikistan (11) dan Yaman (6), dalam Kumpulan D Kejohanan AFC B-19, Maloney berpendapat tidak perlu melakukan rombakan di bahagian itu.

“Saya fikir anda perlu kuat di semua posisi tetapi sesetengah berpendapat pertahanan adalah benteng utama, sudah pasti kami mahu lebih kuat dan stabil di bahagian pertahanan,” katanya sebelum sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
 
“Kami mahu lebih yakin apabila mengawal bola serta mampu bertahan, jadi ia adalah pakej penuh yang kami cari,” kata jurulatih berusia 48 tahun dari Australia itu.

Walaupun terdapat kelemahan di bahagian pertahanan, Malaysia muncul pasukan dengan gol terbanyak (29 gol) dalam kempen kelayakan pada November tahun lalu selepas membelasah Brunei dan Kepulauan Mariana Utara, masing-masing 11-0 dan 10-0, diikuti Jepun (19) dan Korea Selatan (18).

Bagaimanapun, pusingan akhir kejuaraan di Uzbekistan itu, yang dijadualkan dari 14 hingga 31 Oktober depan, adalah satu lagi tahap persaingan yang sengit kerana pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik mendapat tempat ke Piala Dunia B-20 2021 di Indonesia. 

“Jelas pasukan yang paling kuat, Qatar, contohnya mempunyai Akademi Aspire dan hal-hal seperti itu, mempunyai pembangunan sukan bagi golongan muda yang sangat baik, anda tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan ini, sangat kompetitif, Tajikistan dan Yaman mempunyai pemain dengan fizikal yang baik, jadi kami mesti berada di tahap itu untuk bersaing dengan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Maloney mengesahkan tidak ada perlawanan persahabatan bagi pasukannya sebelum kem latihan pusat berakhir Sabtu ini.

“Selepas berbincang dengan staf kejurulatihan, adalah diputuskan kami mungkin belum cukup bersedia untuk perlawanan penuh, jadi kami akan menggunakan masa ini untuk meneruskan latihan sesama kami.

"Mungkin selepas ini kami akan adakan perlawanan persahabatan,” tambahnya.  



-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen