Ketua Jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, memberi bayangan akan memberikan slot automatik buat Luqman Hakim Shamsudin dalam Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan seandainya penyerang itu tidak sempat pulang ke tanah air.

Luqman Hakim sah menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab Belgium, KV Kortrijk, dalam satu majlis di ibu negara semalam.

Ia memungkinkan pemain kelahiran Kelantan itu berhijrah ke Belgium dalam masa terdekat dan akan terlepas kem latihan pusat fasa ketiga bulan depan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih berbangsa Australia itu berkata: "Apa yang kami bincangkan adalah untuk dia fokus kepada kelabnya sebaik berada di Eropah dan kami akan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa mengenai senario terbaik.

"Isunya adalah sekiranya kami mahu membawa pasukan untuk berlatih di Uzbekistan, Timur Tengah atau di kawasan seperti itu.

"Lebih baik untuk dia bersama pasukan sewaktu di sana daripada pulang ke Malaysia.

"Sehingga kami memperoleh maklumat terperinci mengenai kejohanan itu, dan persiapan kami untuk menghadapinya, kami akan terus melakukan perbincangan" katanya.

Selepas kem latihan fasa ketiga, Maloney akan memutuskan senarai akhir 23 pemain untuk ke kem latihan pusat terakhir yang dirancang diadakan di Bahrain awal Oktober depan.

Skuad negara seterusnya akan berlepas ke Uzbekistan untuk mengharungi cabaran sebenar.

Dalam tempoh itu, Luqman Hakim dijangka tidak dapat menyertai sesi latihan tetapi Maloney yakin dengan keupayaan pemain sedia ada.

"Kami mempunyai beberapa pilihan penyerang, jadi sekiranya Luqman tidak terlibat dalam panggilan berikutnya atau sepanjang beberapa minggu depan, saya akan memberikan peluang kepada pemain lain untuk membuktikan bahawa mereka layak untuk berada dalam pasukan ini," tambahnya.