Misi ke Piala Dunia B-20 kekal dalam perancangan pengendali B-19 negara, Brad Maloney, apabila mengakui pasukannya tetap fokus untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19, Oktober depan.

Walaupun terdapat kemungkinan berlaku perubahan venue pertandingan, Stadium AGMK, susulan situasi tidak menentu di Uzbekistan akibat krisis COVID-19, skuad muda negara tetap meneruskan persiapan.

"Saya ada dengar desas-desus mengenainya tetapi dalam senario ini, kami tidak dapat mengubah sesuatu kalau ia belum tentu lagi.

"Apapun, kami akan tetap perlu pergi ke negara yang akan menganjurkannya.

"Permainan kami tidak akan dirombak dengan drastik, cuma akan ada beberapa perubahan kecil.

"Kami akan membuat persiapan menerusi kejohanan dan pasukan yang kami hadapi selain tarikh yang ditetapkan penganjur," katanya ketika ditemui Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dalam sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.

Pengendali dari Australia itu juga tidak panik dibelasah 1-6 PJ City dalam aksi pemanas badan semalam.




"Ia seperti yang kami harapkan satu ujian bagus untuk kami, ia memerlukan tuntutan tinggi bagi menghadapi pemain senior.

"Banyak perkara positif termasuk beberapa kepincangan yang perlu diperbaiki, itulah objektif kami untuk pemain yang dapat beraksi memandangkan kebanyakan mereka sudah tidak beraksi hampir enam bulan," katanya lagi.

Jadual perlawanan Kumpulan D

16 Oktober
Tajikistan lwn Malaysia

19 Oktober
Malaysia lwn Qatar

22 Oktober
Malaysia lwn Yaman