Pengendali Sarawak, Ian Andrew Gillan, berharap mampu mengikut tuah dua jurulatih asing yang pernah menjulang skuad Bujang Senang, Alan Vest dan Robert Albert, dalam misi memburu slot ke Liga Super tahun depan.

Tidak dinafikan, Sarawak menikmati pelbagai kejuaraan seperti Piala FA serta Liga Perdana di bawah khidmat jurulatih asing seperti Vest dan Roberts.

Justeru, Gillan yang pernah menjadi penolong jurulatih Kedah pada 2014 yakin mampu mengikuti jejak langkah yang sama dalam menaikkan kembali maruah Sarawak di persada Liga Malaysia.

"Pencapaian Alan Vest dan Robert Alberts sebelum ini telah membuktikan kewibawaan mereka sebagai jurulatih yang amat bagus. Walaupun berbeza zaman, kejayaan mereka tidak boleh dinafikan.

"Jika saya dapat mengikut jejak langkah mereka, ia tentu hebat," katanya.

Skuad Bujang Senang kehilangan ramai tonggak utama seperti Tommy Mawat, Nur Shamie Iszuan, Shreen Tambi dan Rodney Akwensivie.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mematahkan semangat Gillan kerana kehadiran beberapa pemain tempatan baru yang mampu mengisi kekosongan sepertin Mohd Sabre Abu, Bobby Gonzales, Shazalee Ramlee dan bekas penjaga gol Kedah, Firdaus Mohamad, selain kehadiran semula Mateo Roskam dan Milos Raickovic.

"Saya cuba mendedahkan ilmu bola sepak yang dimiliki kepada semua pemain dan segalanya tampak memuaskan hati. Pemain-pemain muda juga menunjukkan perkembangan yang baik," katanya lagi.