Thomas Tuchel menggambarkan kemenangan 2-1 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Liverpool sebagai "kemegahan" selepas pasukannya mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).

Gol separuh masa pertama terhasil daripada Juan Bernat dan Neymar -- kini muncul pemain Brazil paling produktif dalam sejarah persaingan itu -- sebelum pelawat cuba bangkit menerusi penalti James Milner.

PSG perlu menawan Red Star Belgrade dalam perlawanan terakhir Kumpulan C bagi memastikan laluan ke pusingan kalah mati sambil kelab Serbia itu sudah pun tersingkir.

Tuchel memuji PSG, yang mempunyai rekod sempurna 14 kemenangan berturut-turut dalam Ligue 1, selepas mereka berhempas-pulas untuk melakar kemenangan tipis ke atas finalis musim lalu itu.

"Kami sangat gembira apabila kami membuktikan bahawa kami mampu menyaingi pasukan seperti Liverpool yang mempunyai semangat yang hebat," kata Tuchel kepada RMC Sport.

"Ia adalah satu cabaran hebat, pemain saya telah membuktikannya.

"Anda tidak boleh menang tanpa pertahanan hebat dan usaha sepasukan. Kami bekerja keras dan hasilnya luar biasa."

Tuchel mengetepikan Adrien Rabiot di bangku simpanan, di celah-celah laporan perbalahan dengan pemain tengah itu yang masuk sebagai pengganti untuk membantu PSG meraih kemenangan mereka.

"Saya mahu bermain lebih tinggi dan lebih menyerang," kata Tuchel ketika ditanya mengenai ketiadaan Rabiot.

"Saya gembira Adrien berpeluang diturunkan dan memberi rehat kepada Marquinhos yang kelelahan.

"Saya memilih 11 pemain tetapi kami perlu menamatkan permainan ini dengan baik dan tiga orang lain perlu bersedia."

Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi, sangat gembira sambil memuji Tuchel selepas pasukannya memiliki kelebihan dua mata berbanding Liverpool serta berjaya membalas dendam kekalahan 2-3 di Anfield, September lalu.

"Ya, saya sangat gembira dengan kualiti permainan kami, kami menunjukkan wajah sebenar kami," kata Al-Khelaifi.

"Ramai orang dalam media bercakap mengenai projek kami dan kami menunjukkan wajah sebenar pasukan.

"Kami bersungguh-sungguh dengan melantik pengurus yang hebat. Ia adalah sambutan hebat buat semua orang, ia tidak mudah memandangkan Liverpool kini berada di tahap yang hebat dengan kehadiran beberapa pemain yang hebat.

"Bagi saya, Tuchel adalah jurulatih terbaik dunia dan dia membuktikannya hari ini. Kami bermain dalam setiap perlawanan untuk memenangi UCL," ujarnya.