Kejayaan di Abu Dhabi jadi pemangkin Real hadapi El Clasico

Oleh Penulis Jemputan 18 Disember 2017 231
Kejayaan di Abu Dhabi jadi pemangkin Real hadapi El Clasico
Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, percaya kejayaan menjulang Piala Dunia Kelab memberikan motivasi secukupnya buat mereka menghadapi pertembungan El Clasico.

Skuad kendalian Zinedine Zidane itu menjulang gelaran kelima tahun ini dengan kemenangan 1-0 ke atas Gremio kelmarin tetapi tumpuan kembali terarah kepada saingan domestik.

Real, yang akan menerima kunjungan pendahulu LaLiga, Barcelona, di Santiago Bernabeu, Sabtu ini, memerlukan kemenangan bagi mengurangkan jurang lapan mata dengan seteru mereka.

Kroos, yang menyifatkan trofi terbaru mereka amat penting, menegaskan pasukannya sudah memiliki motivasi yang diperlukan untuk berdepan Barcelona.

"Untuk perlawanan ini, anda tidak memerlukan sebarang perkara yang istimewa atau motivasi," katanya.

"Tetapi kemenangan ini memberikan semangat buat kami yang bakal pulang ke Bernabeu untuk menghadapi perlawanan penting."

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Real di Abu Dhabi, termasuk gol kemenangan ke atas Gremio.

Pemenang Ballon d'Or itu sudah membuktikan kepada pengkritiknya dan Kroos menyifatkan pasukan menyedari kepentingan penyerang dari Portugal itu buat Real.

"Kami menyedari jika dia berada di atas padang, dia akan mencuba untuk membantu kami. Dia cuba untuk menjaringkan gol dan berjaya melakukannya dalam kedua-dua perlawanan.

"Kami tidak perlu bercakap mengenai kepentingan Ronaldo buat Real."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen