Kejadian banjir pemangkin pemain -- Hodak

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2017 1296
Kejadian banjir pemangkin pemain -- Hodak
Pengendali skuad B-19 tahun negara, Bojan Hodak, mengakui merangsang semangat pemainnya untuk bermain demi keluarga mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda Pulau Pinang ketika ini, apabila membelasah Indonesia 4-1 dalam saingan kelayakan AFC B-19 tahun di Paju, Korea Selatan, hari ini.

Menurut Hodak, barisan muda negara kendaliannya mempunyai ramai pemain yang berasal dari Pulau Pinang serta mempunyai ahli keluarga di negeri itu.

Faktor itu tampak menjadi sumber kekuatan dan inspirasi pemain untuk mengatasi Indonesia dengan cuaca sejuk di Paju tampak tidak menjadi penghalang.

"Bencana alam yang menimpa Pulau Pinang menjadi pemangkin semangat untuk pemain saya beraksi cemerlang.

"Rata-rata pemain saya adalah kelahiran Pulau Pinang dan juga Kedah,” kata Hodak.

Hodak turut memuji keberkesanan gandingan Nik Akif Syahiran, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kerap memecah benteng Indonesia.

Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga mengakui, percaturan taktikal ketika latihan membabitkan tiga pemain itu turut memberikan hasil apabila berdepan Indonesia.

"Secara taktikalnya, Akhyar bermain dengan baik. Dia bijak mencari ruang untuk melepasi pertahanan lawan. Nik Akif dan Hadi Fayyadh sudah mula serasi. Saya menggunakan latihan sebelum berdepan Indonesia bagi memantapkan jentera serangan," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen