Kehebatan Suarez bantu bangkit daripada kontroversi

Oleh Nafis Abdullah 23 April 2020 102
Kehebatan Suarez bantu bangkit daripada kontroversi
Luis Suarez mempamerkan aksi hebat untuk bangkit daripada penggantungan ekoran kesalahan menggigit untuk menjadi bintang Barcelona, kata bekas rakan sepasukannya di Livrpool, Charlie Adam.

Suarez memenangi 13 kejuaraan utama bersama Barca sejak berpindah daripada Liverpool pada 2014 termasuk rangkaian tiga trofi, bergelar juara LaLiga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara Eropah dalam musim pertama.

Bintang Uruguay itu mengesahkan perpindahan ke Camp Nou selepas mengharungi musim gemilang dalam Liga Perdana Inggeris pada 2013-14, menjaringkan 31 gol dalam 33 perlawanan untuk memenangi Kasut Emas Eropah dan dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan PFA serta Pemain terbaik Semusim Liga Perdana Inggeris.

Namun, dia gagal meraih penampilan pertama Barca sehingga 25 Oktober selepas digantung empat bulan oleh FIFA ekoran kesalahan menggigit Giorgio Chiellini ketika Piala Dunia.

Ia merupakan kali ketiga dalam kariernya didapati bersalah selepas menggigit Otman Bakkal ketika bersama Ajax pada 2010 dan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic, tiga tahun kemudian sehingga digantung 10 perlawanan.


Adam -- yang menjadi rakan sepasukan Suarez dalam musim pertamanya di Liverpool pada 2011-12 -- berkata cara penyerang itu bangkit dalam kariernya sangat hebat.

"Dia kecewa selepas menerima penggantungan itu, bagaimana boleh terlibat dalam situasi itu cara ia berlaku," katanya.

"Namun, cara dia bangkit sangat hebat. Saya masih katakan bahawa dia salah seorang penyerang terbaik di dunia.

"Dia dahagakan gol, mewakili salah sebuah pasukan terbaik dunia bersama pemain terhebat, Lionel Messi. Sangat mengagumkan melihat cara dia menghadapinya.

"Sangat getir sewaktu dia meninggalkan Liverpool dan berhijrah ke Barca sehingga membuatkan ramai sangsi tetapi dia sangat hebat. Saya berbesar hati pernah berkongsi bilik persalinan dengannya."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen