Mauro Icardi telah mempamerkan prestasi di luar jangkaan Paris Saint-Germain (PSG) susulan hatrik yang dihasilkannya dalam saingan Piala Liga Perancis, kata rakan sepasukan, Marco Verratti.

Tiga gol Icardi awal pagi tadi membolehkan juara Perancis, PSG, membenam Saint-Etienne yang beraksi dengan 10 pemain 6-1 untuk melangkah ke separuh akhir.

Penggempur Argentina itu menyinar sejak tiba secara pinjaman daripada Inter Milan di permulaan musim ini dengan menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan.

Pemain tengah PSG, Verratti, memuji Icardi -- yang turut dikaitkan ke Juventus, Napoli dan Real Madrid sebelum menyertai skuad kendalian Thomas Tuchel itu -- selepas prestasi terbarunya itu di Paris.

"Icardi? Dia mungkin tidak menyentuh bola. Dia tahu bola akan datang kepadanya dan dia akan jaringkan gol kerana sentiasa bersedia," kata pemain Itali, Verratti.

"Ini perwatakan sebenar Icardi. Kami tidak fikir ia akan sampai ke tahap ini, enam bulan pertama sentiasa sukar tetapi ia hebat dan kami harap dapat meneruskannya."

Icardi muncul watak utama buat PSG tatkala sembilan gol yang dihasilkan dalam Ligue 1 membolehkan juara bertahan itu berada di puncak liga dengan kelebihan tujuh mata.

"Memulakan tahun baru dengan baik adalah sesuatu yang penting untuk semua pemain dan pasukan," ujar penyerang itu.

"Kami telah melakukannya dalam aksi terakhir Piala Perancis, membuktikan pasukan yang kami miliki dan hari ini, di laman sendiri, kami sekali lagi mempamerkan taring sebenar ketika berdepan lawan berbeza.

"Rrangkaian empat pemain hebat (Icardi, Kylian Mbappe, Neymar dan Angel Di Maria)? Kami berusaha untuk meningkat, mendapatkan rentak permainan, menyerang dan bertahan bersama dalam prestasi terbaik. Kami tahu apa perlu dilakukan. Sebab itu kami meraih keputusan terbaik.

"Kami tahu jika mahu beraksi dengan empat penggempur, kami perlu sedia berkorban. Itu yang kami lakukan sejak jurulatih mengubah sistem dan pasukan melakukannya dengan baik."



Editor: Nafis Abdullah