Kehebatan Griezmann paksa Leicester ubah strategi

Oleh Staff Writer 13 April 2017 4005
Kehebatan Griezmann paksa Leicester ubah strategi
Penjaring gol tunggal Atletico Madrid, Antoine Griezmann, memaksa Leicester City mengubah corak permainan mereka apabila penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu tewas 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Beraksi di Vicente Calderon, Griezmann menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28 untuk golnya yang ke-24 musim ini.

Pengurus Leicester, Craig Shakespeare, kecewa dengan keputusan pengadil -- apabila ulang tayang membuktikan kekasaran berlaku di luar kotak penalti -- namun mengakui aksi Griezmann menyebabkan pasukannya terpaksa turun dengan corak bertahan.

The Foxes gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke arah gawang Jan Oblak dalam tempoh 90 minit permainan.

Shakespeare dipaksa membawa masuk Andy King menggantikan Shinji Okazaki dalam babak kedua dengan Wilfred Ndidi dipertanggungjawabkan mengekang pergerakan Griezmann.

"Kami terpaksa mengubah formasi, mengorbankan seorang pemain penyerang dan meletakkan Wilfred dalam formasi 4-5-1," Shakespeare menjelaskan kepada BT Sport.

"Dalam babak pertama, Griezmann mudah menembusi barisan pertahanan, lantas menghadirkan masalah."

"Mereka (Atletico) antara pasukan terbaik di Eropah tetapi kami masih mampu memberi saingan. Kami tahu apa yang bakal kami laksanakan di Stadium King Power."

Sementara itu, Shakespeare turut meluahkan kekecewaan terhadap keputusan pengadil, Jonas Eriksson, menghadiahkan sepakan penalti.

"Mengecewakan, ia merupakan saat getir dalam perlawanan ini," kata Shakespeare.

"Pengadil sepatutnya membuat keputusan yang lebih tepat dan bukannya membuat tekaan.

"Saya sedar dia memikul tugas berat tetapi keputusannya perlu tepat.

"Ia sepatutnya sepakan percuma dan bukannya penalti."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen