Bekas pengarah sukan AS Roma, Walter Sabatini, mendedahkan kegagalannya dalam membantu kelab itu meraih kejuaraan Serie A akan menghantuinya sepanjang hayat.

Roma mengesahkan pada Khamis bahawa Sabatini telah mengundurkan diri di samping mengucapkan terima kasih ke atas usahanya dalam memajukan kelab itu dalam tempoh lima tahun ini.

Sabatini, 61 tahun, hadir ke sesi latihan pada Jumaat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pihak media dan dia mengakui, jika pasukan itu tidak melakukan sesuatu yang mustahil musim ini, dia akan selamanya menyesal gagal membawa pasukan itu meraih kejuaraan Serie A.

"Apa yang diucapkan hari ini bukanlah yang terakhir daripada saya, kerana pasukan ini tetap menjadi 'milik' saya meskipun saya tiada di sini.

"Roma memiliki pemain yang cukup kompetitif dan seorang jurulatih (Luciano Spaletti) yang berwibawa.

"Saya sudah berada di sini selama lima tahun, dan dalam tempoh itu, saya telah membuat banyak penilaian terhadap kemampuan pasukan ini.

"Kami telah membentuk asas yang kukuh untuk pasukan ini dan meskipun kami tidak mampu menjuarai Scudetto, kami masih muncul selaku pencabar utama untuk beberapa kali.

"Saya sedih kerana gagal melaksanakannya demi penyokong tetapi saya harap mereka mampu melakukannya musim ini.

"Saya masih sebahagian daripada pasukan ini jika mereka mampu melakukannya."