Kedudukan Azri belum terjamin

Oleh Penulis Jemputan 16 Oktober 2018 84
Kedudukan Azri belum terjamin
Penjaga gol muda negara, Muhammad Azri Abdul Ghani, mengakui aksi hebat lalu belum menjamin tempatnya selaku benteng terakhir untuk Kejohanan B-19 Tahun AFC 2018. 

Nama Azri menjadi tumpuan setelah muncul wira dalam penentuan sepakan penalti yang menyingkirkan tuan rumah, Indonesia, dalam separuh akhir Kejohanan AFF, Julai lalu.

Cuma di sebalik lega kerana namanya tetap tersenarai dalam barisan akhir ke Jakarta, Azri mengakui berdepan saingan sengit daripada dua rakan seposisi, Shafiq Afifi Suhaimi dan Syakir Danial, untuk tempat dalam kesebelasan utama.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana saya masih lagi bersaing dengan Shafiq dan Syakir yang mampu mempamerkan persembahan berkualiti," kata Azri.

"Buat masa ini, terdapat beberapa perkara yang perlu saya tingkatkan dan saya akan berusaha untuk mempamerkan yang terbaik."

Lawan pertama skuad kendalian Bojan Hodak itu ialah Arab Saudi, Sabtu ini, dan Azri mengakui dia dan rakan sepasukan tidak mampu leka jika tidak mahu lawan bingkas menghukum mereka.

"Menumbangkan Arab Saudi bukan mudah. Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan ini," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen