Kedah boleh melupakan hasrat beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan persatuan bola sepak negeri itu gagal mendapatkan lesen daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ekoran kelewatan menghantar laporan kewangan yang beraudit.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan di bawah sistem pentadbiran pelesenan kelab AFC (CLAS), Kedah gagal menghantar dokumen pada waktu ditetapkan.

AFC menjelaskan tiada sebarang dokumen luar daripada sistem CLAS boleh diterima dan KFA gagal memenuhi kriteria wajib ditetapkan kerana tiada pasukan dibenar memuat naik dokumen tambahan selepas tarikh akhir.

Walaupun badan pelesenan kelab FAM menerima laporan lewat kewangan beraudit Kedah, ia hanya untuk ruang bagi mendapatkan lesen kelab dalam peringkat kebangsaan.

Namun, bagi lesen AFC, ia tidak boleh dilakukan kerana berdasarkan rekod dalam sistem CLAS, tiada penyata kewangan beraudit dihantar oleh Kedah.

Justeru, Kedah tidak boleh memiliki lesen AFC, malah FAM boleh dikenakan hukuman kerana memberi lesen dengan cara yang salah.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) telah dihantar surat pemberitahuan oleh FAM pada 1 November lalu yang menyatakan mereka diluluskan hanya dalam peringkat kebangsaan.

FAM bakal mencari calon pengganti yang telah berjaya memiliki lesen AFC bagi mengisi slot ke Piala AFC dengan pilihan di antara Pahang, Selangor dan PKNS.