Kecemerlangan Ziyech bantu Ajax dominasi Kumpulan H 

Oleh Staff Writer 28 November 2019 155
 Kecemerlangan Ziyech bantu Ajax dominasi Kumpulan H 
LILLE 0 AJAX 2

Bintang Ajax serta Maghribi, Hakim Ziyech, tidak percaya kecederaan lengan yang dialaminya pada penghujung perlawanan dalam kemenangan 2-0 ke atas Lille awal pagi tadi adalah serius.


Skuad kendalian Erik Ten Hag tersebut kini mengungguli saingan Kumpulan H, Liga Juara-Juara (UCL) itu dengan baki satu perlawanan lagi selepas mempamerkan persembahan hebat di Stade Pierre-Mauroy awal pagi tadi apabila Ziyech menyempurnakan satu gerakan sepasukan yang menarik untuk membuka tirai jaringan pada minit kedua. 

Dia turut menjadi penyumbang kepada jaringan Quincy Promes melalui sepakan lintangnya selepas waktu rehat selain satu golnya dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana bola didapati terkena tangannya.

Insiden berkenaan mencetuskan rasa tidak selesa buat Ziyech sebelum terpaksa dikeluarkan pada minit ke-85, namun pemain berusia 26 tahun berkenaan menawarkan berita baik ketika diwawancara oleh Veronica TV sejurus selepas perlawanan itu.

"Lengan saya masih sakit dan sukar untuk mengangkatnya, saya hanya perlu memantau perkembangannya," katanya.

"Ia terkena pertahanan dan juga bola tetapi saya berasakan ia tidak serius."

Mengenai prestasi Ajax, Ziyech menambah: "Ia satu permulaan yang hebat memandangkan serangan pertama kami berjaya menghasilkan gol. Tetapi selepas itu, permainan kami agak goyah.

"Mereka bermain dengan hantaran jauh manakala penyerang pusat mereka mencetuskan masalah buat kami.

"Bagaimanapun, mereka hanya mempunyai beberapa peluang menarik dan selebihnya, kami menguasai perlawanan. Kami memang berhak untuk menang.

"Saya dapat menghidu pergerakan Quincy jadi saya cuba membuat satu hantaran lintang yang sukar untuk dipatahkan. Dan sentuhan penyudahnya juga hebat.

"Kami saling mengenali antara satu sama lain dan tidak perlu berbincang di atas padang. Kami akan turun untuk memenangi perlawanan terakhir, sebab itulah kami bermain bola sepak."

Ajax kini memiliki kelebihan untuk layak apabila bakal menjadi tuan rumah kepada Valencia bulan depan, dengan pendahulu Eredivisie itu memiliki 10 mata berbanding lapan mata yang dipungut kelab LaLiga itu.

Los Che berhempas pulas untuk seri 2-2 dengan Chelsea -- yang juga mengumpul lapan mata dan akan menghadapi Lille yang hanya akan bermain untuk menebus maruah. 

"Malangnya kami tidak menyumbat gol ketika kami berada di puncak permainan," kata pengurus Lille, Christophe Galtier, yang menyaksikan Jonathan Bamba dan Jonathan Ikone terlepas peluang berharga dalam setiap babak. 

"Dalam kelima-lima perlawanan ini, kami tidak mempunyai sentuhan klinikal (di depan gol) dan dalam kancah yang menarik tetapi kejam ini, kami dihukum kerananya."

Rentak anak buahnya pada awal permainan menjadi punca kebimbangan pengurus Ajax, Ten Hag.

"Kami bertahan dengan baik tetapi kami memberikan mereka peluang yang terlalu banyak dengan menyerahkan terlalu banyak ruang," katanya seperti yang dipetik oleh UEFA.com.

"Ini sesuatu yang perlu kami perbaiki, jika tidak, kami seharusnya menang. Kami meledak dua gol yang hebat dan mungkin lebih banyak lagi.

"Kemenangan ini mencerminkan dominasi kami walaupun pihak lawan mempunyai peluang, ia adalah normal di tahap ini. Taktikal kami hampir sempurna."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen