MANCHESTER UNITED 3 PARTIZAN BELGRADE 0

Ole Gunnar Solskjaer sedar prestasi cemerlang Manchester United dalam Liga Europa perlu diteruskan dalam Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Partizan Belgrade 3-0 di Old Trafford awal pagi tadi.


Gol daripada Mason Greenwood, Anthony Martial dan Marcus Rashford -- yang kali pertama bergandingan dalam kesebelasan utama -- mengekalkan rekod tanpa kalah United dalam saingan Kumpulan L itu untuk layak ke pusingan berikutnya meskipun masih berbaki dua perlawanan.

Hanya kecederaan Scott McTominay pada lewat permainan mencacatkan kemenangan itu, namun Solskjaer kecewa dengan beberapa peluang keemasan yang disia-siakan barisan depannya.

Bagaimanapun, dengan perlawanan tanpa dibolosi dan tiga gol yang dihasilkan itu, Solskjaer mahu pasukannya, yang kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana dengan hanya tiga kemenangan, mempamerkan peningkatan di peringkat domestik.

"Itulah asasnya, ia platform untuk memulakan prestasi," katanya kepada beIN SPORTS.

"Kami tahu kami sudah memperkuatkan barisan pertahanan tahun ini dan telah menjadi amat kukuh, kami hanya mahu melihat prestasi seperti ini dalam Liga Perdana.

"Menjaringkan gol, mencipta peluang dan melihat senyuman di wajah setiap pemain.

"Sebahagian daripada perlawanan ini amat baik, sebahagian daripada prestasi ini berada di tahap kualiti yang amat tinggi.

"Anda mahu melihat lima atau enam (gol) tetapi buat masa ini, saya fikir sesetengah pemain sudah mula memikirkan mengenai perlawanan pada Ahad ini (menentang Brighton and Hove Albion), mula memulihkan diri dan kami kelihatan sedikit tidak kemas pada penghujung perlawanan, namun pada kebanyakan masa, kami amat berbahaya.

"Kami sepatutnya menamatkan perlawanan pada 10 hingga 15 minit pertama dan mereka sepatutnya sudah tidak dapat bersaing selepas tempoh itu.

"Tetapi mendapatkan gol dan tidak dibolosi amat penting untuk meningkatkan keyakinan penjaga gol dan barisan pertahanan.

"Sekarang kami boleh memikirkan tentang perlawanan Ahad ini.

"Saya amat-amat gembira (dengan kemaraan ini).

"Ia bermakna, dalam dua perlawanan terakhir, kami boleh memberikan peluang buat pemain lain yang memerlukannya.

"Terdapat pemain yang akan kembali daripada kecederaan juga, jadi kami akan menggunakan mereka dan sudah pasti mencuba untuk menjuarai kumpulan.

"Tetapi ia membuatkan saya berfikir untuk merehatkan beberapa pemain," katanya.

Rashford melepaskan beberapa peluang dalam babak pertama, namun dia menghasilkan penyudah gemilang sebaik babak kedua bersambung untuk memusnahkan perjuangan lawan.

Dan selepas United tewas kepada Bournemouth dalam perlawanan sebelumnya, penyerang kebangsaan England itu lega pasukannya dapat bangkit dengan serta-merta.

"Prestasi yang baik adalah perkara utama, saya amat germbira," katanya kepada BT Sport.

"Kami mengambil kekalahan itu sebagai sesuatu yang positif, jadi kami melupakannya dan kembali meningkat.

"Ia adalah sesuatu yang kami tumpukan, sebagai pemain di bahagian serangan.

"Harap-harap hari ini hanya permulaan dan kami dapat meningkat dan menjadi lebih bersahaja.

"Itulah perkara utama, membantu sesama sendiri untuk menjaringkan gol.

"Kami meletakkan penekanan yang besar tehadap perkara itu dan pada masa sama, mencuba untuk membantu pasukan secara positif.

"Perkara utama selepas tewas adalah anda mahu memenangi perlawanan selepasnya, itulah perkara utama sebagai seorang pemain.

"Ia tidak bagus apabila anda tewas tetapi amat bagus untuk kembali menang, untuk memperbetulkan keadaan dan hari ini, kami dapat melakukannya," katanya.