Kecederaan Welbeck hantui aksi seri Liga Europa

Oleh Penulis Jemputan 9 November 2018 479
  Kecederaan Welbeck hantui aksi seri Liga Europa
ARSENAL 0 SPORTING CP 0:

Danny Welbeck dikejarkan ke hospital susulan kecederaan pergelangan kaki semasa seri tanpa jaringan dengan Sporting CP dalam aksi Liga Europa, kata pengurus, Unai Emery. 


Welbeck kembali ke barisan utama untuk perlawanan di Stadium Emirates itu dan mensia-siakan peluang awal untuk memecah kebuntuan.

Peluang kedua menyaksikan tandukan tonggak England tersebut tepat ke arah Renan Ribeiro, begitupun penyerang itu gagal mendarat dengan baik sehingga pergelangan kakinya tercedera yang memaksanya diusung keluar. 

Emery mengesahkan kecederaan itu "serius" tetapi Gunners akan menunggu untuk mengetahui sejauh mana masalah dihadapi pemain berusia 27 tahun itu.

"Berita terburuk pada malam ini adalah kecederaan ini," kata pengurus dari Sepanyol itu dalam sidang media. "Kami fikir ia kecederaan yang serius.

"Dia telah dibawa ke hospital. Kami akan menunggu (untuk maklumat lanjut).

"Danny beraksi dengan baik. Dia adalah orang yang sangat baik, komitmennya bersama kami sangat tinggi. 

"Kecederaan ini sangat mengecewakannya, untuk kami dan semua orang."

Arsenal turut menyaksikan pemain pertahanan, Stephan Lichtsteiner, dikeluarkan akibat kecederaan ketika aksi berbaki 16 minit permainan dan Emery berharap ia tidak seserius seperti Welbeck.

"Masalah Lichtsteiner ialah di bahagian otot," katanya. "Kami akan mengetahui lebih lanjut mengenai kecederaannya esok."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen