Luis Suarez bakal diketepikan selama dua minggu ekoran masalah lutut di sebalik deretan masalah kecederaan terbaru yang melanda Barcelona.

Penyerang berkenaan beraksi sepanjang perlawanan ketika diikat 1-1 di Atletico Madrid, begitupun dia akan menjalani rawatan bagi menangani masalah di lutut kanannya itu.

Justeru, pemain berusia 31 tahun itu bakal tersisih dalam lawatan ke PSV bagi aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi esok, dan mungkin tidak dapat diturunkan sehingga selepas pertemuan 'derby' dengan Espanyol dalam saingan LaLiga pada 8 Disember nanti.

Penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen, turut menyertai Suarez sehingga tiga minggu selepas mengadu masalah paha ketika sesi memanaskan badan, Sabtu lalu.

Arthur, yang terlibat selama 80 minit ketika menentang Atleti, juga akan diketepikan untuk kunjungan ke Eindhoven pertengahan minggu ini setelah mengalami masalah otot.

Berita Ivan Rakitic dan Philippe Coutinho kembali ke skuad menjadi rangsangan yang dialu-alukan oleh pengurus, Ernesto Valverde, yang sudah kehilangan khidmat Rafinha, Sergi Roberto, Thomas Vermaelen dan Sergi Samper.

Rafinha dan Roberto masing-masing mengalami kecederaan lutut dan hamstring ketika beraksi di Wanda Metropolitano yang menyaksikan Barca menyamakan kedudukan di lewat permainan menerusi Ousmane Dembele.

The Catalans sudah melayakkan diri ke pusingan 16 UCL dan akan memastikan kedudukan pertama dalam Kumpulan B sekiranya menang ke atas PSV sementara seri juga sudah memadai sekiranya Inter gagal menewaskan Tottenham.