Kecederaan Robben tidak serius -- Ancelotti

Oleh Staff Writer 2 Oktober 2016 1
Kecederaan Robben tidak serius -- Ancelotti

Carlo Ancelotti menegaskan kecederaan yang dialami Arjen Robben ketika Bayern Munich meraih keputusan seri berdepan FC Cologne tidak serius.

Pemain berusia 32 tahun itu membuat penampilan pertama pada Sabtu di Allianz Arena, namun terpaksa digantikan dengan Thomas Muller pada separuh masa kedua.

Senario itu mencetuskan kebimbangan bahawa bintang Belanda itu akan sekali lagi diketepikan buat tempoh lama selepas dua bulan tidak beraksi ekoran kecederaan.

Bagaimanapun, Bayern melaporkan Robben sekadar mengalami bengkak di badannya dan Ancelotti menegaskan ia bukan kecederaan serius.

"Dia mengalami kesakitan dan tidak dapat meneruskan permainan, namun kecedearan itu tidak serius," katanya.

Keputusan seri itu bermakna ini kali pertama Bayern gagal mengutip tiga mata penuh selepas tewas 1-0 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Selasa lalu.

Ancelotti mengakui kecewa, namun dia tidak bimbang dengan keputusan tersebut.

Bayern berada di depan lima minit sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan pemain muda, Joshua Kimmich, sebelum Anthony Modeste meledak gol penyamaan pada minit ke-64 perlawanan.

"Sudah tentu kami kecewa, namun kami tidak bimbang dengan keputusan ini.

"Kami mampu menang -- apabila percubaan Javi Martinez dan Juan Bernat sekadar menggegar palang-- namun Cologne juga berpeluang mengutip tiga mata.

"Kami memulakan perlawanan dengan baik tetapi separuh masa kedua, Cologne memperkemaskan permainan mereka sehingga jaringan penyamaan berjaya hadir."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen