Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menyifatkan kecederaan yang dialami oleh pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon, sewaktu aksi pusingan pertama Terbuka Denmark tidaklah serius seperti yang disangkakan.

Frost berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kecederaanya tidak begitu serius dan hanya perlu berehat untuk beberapa hari.

Dia turut percaya pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu mampu turun ke gelanggang semula di Terbuka Perancis, minggu depan.

"Ketika saya bertanya mengenai situasi sebenar dia (Peng Soon), saya diberitahu bahawa dia mengalami kecederaan di bahagian buku lali.

"Ian tidak begitu serius dan saya berharap dia akan kembali secepat mungkin. Buat masa ini, dia kelihatan baik untuk menghadapi pusingan kelayakan di Dubai (Siri Super Final). Tetapi kami tidak boleh memaksa andai dia masih cedera," katanya.

Bagi Peng Soon sendiri, dia positif mampu pulih dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan mahu rakyat Malaysia tidak terlalu khuatir, sambil terus memberi sokongan untuknya beraksi semula.

"Jangan bimbang, mungkin saya perlu berehat beberapa hari dan ia akan kembali baik. Kini, saya berehat untuk melihat apa keadaan kaki saya dan berharap ia pulih dengan cepat," kata Peng Soon, ketika ditemubual menerusi telefon.

Peng Soon, yang bergandingan dengan Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran, mengalami kecederaan selepas terseliuh di bahagian buku lali ketika menentang pasangan dari China, Bau Yi Xin dan Li Jun Hui, di Odense, Denmark, semalam.

Kejohanan tersebut berlangsung 18 hingga 23 Oktober.