Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, sudah bersedia untuk menangani sebarang cabaran, termasuk isu kecergasan atau kecederaan pemain yang dipilih bagi skuad Piala Suzuki AFF 2016, yang akan beraksi dalam final Piala Malaysia.

Lapan pemain di dalam senarai pendek Kim Swee dari skuad Selangor dan Kedah, akan berentap dalam aksi final Ahad ini.

Antaranya adalah dua tonggak benteng skuad itu, Shahrom Kalam dan Khairul Helmi Johari, begitu juga pemain penting di jentera serangan, Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Hazwan Bakri.

Sudah pasti pemain tersebut akan menampilkan aksi terbaik dalam pertembungan perebutan piala, sekaligus meningkatkan risiko kecederaan.

"Mereka berkhidmat untuk kelab dan pasukan negara, penting untuk mereka beraksi bersama kelab dan dalam masa yang sama, bersama negara.

"Jika berlaku sebarang kecederaan, ia berada di luar kawalan saya dan juga pemain. Untuk memikirkan tentang kecederaan, ia merupakan perkara yang mustahil untuk saya fikirkan," jelas Kim Swee.

Kurang sebulan sebelum sepak mula kempen AFF, Kim Swee dan barisan kejurulatihannya sudah mula mengkaji lawan mereka.

Tidak terkecuali Kemboja -- pasukan yang mengeshakan slot daripada aksi kelayakan -- lawan pembuka tirai di Myanmar nanti.

"Dalam pusingan kelayakan tempoh hari, Kemboja telah menampilkan persembahan yang berbeza di mana mereka mempunyai kekuatan dari segi taktikal, selain mempunyai pemain-pemain yang berkualiti.

"Saya telah menghantar penolong jurulatih saya ke sana, sudah tentu kami harus lebih berwaspada.

"Dalam masa yang sama, kami tidak boleh mengambil mudah kerana saya percaya laluan kami dalam perlawanan pertama amat penting."